MENTERI Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan bekas juara dunia skuasy, Datuk Nicol David berhak menerima lebih daripada pencen sebagai imbuhan terhadap sumbangannya mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.
Beliau yang enggan mendedahkan jumlah pencen atau insentif lain yang bakal diterima Nicol berkata, pihak Majlis Sukan Negara (MSN) masih berbincang dengan bekas ratu skuasy negara tersebut termasuk sebarang bantuan dan rancangan yang mahu dilakukan atlet kelahiran Pulau Pinang berkenaan.
“Beliau berhak terima lebih daripada pencen memandangkan beliau adalah juara dunia lapan kali. Tetapi bentuk bantuan (yang akan diberi), biarlah dia sendiri yang umumkan. Kita beri dia ruang dan hormatinya untuk beliau umumkan sendiri,” kata Syed Saddiq.
Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Forum Konflik Kepentingan: Analisis dan Syor berhubung Pencegahan Naungan Politik dan Rasuah di Malaysia semalam.
Kelmarin, Syed Saddiq dilapor mengarahkan kementeriannya memberikan bantuan kepada Nicol dalam usaha menjayakan perancangannya membangunkan sukan skuasy di negara ini selepas bersara.
Selesa lalu, Nicol yang menceburi sukan tersebut lebih dua dekad lalu mengumumkan bakal menamatkan kariernya itu pada Jun nanti, selepas musim jelajah Persatuan Skuasy Profesional (PSA) 2018/19 berakhir. – Bernama











