PARIS 18 Feb. – Bapa Neymar menegaskan bahawa anaknya yang merupakan pemain termahal dunia tidak akan kembali menyertai Barcelona.
Neymar menyertai Paris Saint Germain (PSG) dengan rekod perpindahan 222 juta euro (RM1.02 bilion) namun sejak kebelakangan ini sering dikaitkan dengan perpindahan semula ke Barcelona.
“Barcelona adalah kelab besar dan kami gembira semasa berada di sana.
“Adalah mustahil untuk pemain sepertinya untuk tidak terlibat dengan spekulasi perpindahan ini.
“Perkara ini tidak benar, kami tidak pernah berhubung dengan Barcelona.
“Hanya dua individu dibenarkan bercakap untuk Neymar, dia dan saya. Kami tidak pernah berniat untuk kembali ke sana.
“Khabar angin ini sememangnya menghiburkan kami. Wartawan memang pandai berjenaka. Masa depannya adalah di Paris,” kata Neymar Sr.
Penyerang Brazil itu kini terpaksa berehat selama 10 minggu bagi menjalani pemulihan kecederaan kaki yang dialaminya semasa beraksi di Piala Perancis menentang Strasbourg pada 23 Januari lalu.
PSG berharap pemain berusia 27 tahun yang mengalami kecederaan berulang di kaki sama itu akan kembali beraksi menjelang suku akhir Liga Juara-Juara.
Kelab Perancis itu kini memiliki kelebihan 2-0 ke atas Manchester United bagi aksi timbal balas di Parc des Princes bagi pertemuan kalah mati Liga Juara-Juara.-AGENSI










