PARIT BUNTAR 3 Feb. – Nasi lemak Din Corner yang terletak di Gerai Makanan Fasa Satu, Jalan Besar Tanjong Piandang begitu dikenali kerana keenakannya.
Sejak memulakan perniagaan 10 tahun lalu, nasi lemak daun pisang ini kian popular kerana bukan sahaja terkenal di daerah ini malah hingga ke utara Perak, Pulau Pinang dan Kedah.
Pemilik peniagaan Nasi Lemak Din Corner menerusi syarikat Rohayadin R&D Sri Piandang Katering, Shamsuddin Ariffin berkata, nasi lemak yang dibungkus dengan daun pisang merupakan tarikan utama pelanggan kerana dapat mengekalkan rasa malah menyebabkan nasi berbau harum.
“Saya menjual nasi lemak sambal tumis ikan duri masin dan telur.

“Sambutan begitu menggalakkan dan pelanggan saya terdiri daripada semua lapisan masyarakat dan kaum,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Menurutnya, dia memasak nasi lemak menggunakan beras yang berkualiti manakala sambal tumis dibuat menggunakan rempah ratus tradisional.
Kata Shamsuddin, bekalan daun pisang diperoleh daripada orang kampung dan miliknya sendiri manakala ikan duri masin dibeli daripada nelayan pantai di kawasan Tanjung Piandang.
Dia belajar memasak nasi lemak daripada keluarga isterinya, Rohaya Dahaman dan perniagaannya dibantu anak-anak dan pembantu kedai.
“Saya memasak nasi lemak seawal pukul 5 pagi dan biasanya nasi lemak yang dijual pada harga RM1.20 sebungkus masih panas.
“Saya bersyukur kerana perniagaan ini mendapat sambutan. Selain nasi lemak, kami juga menyediakan sarapan roti canai dan mi sup,” katanya.
Shamsuddin berkata, sebelum ini dia hanya berniaga di tepi jalan dan di pasar malam.
“Berkat usaha dan kesabaran serta sokongan semua pihak, saya mengembangkan perniagaan dengan menubuhkan Rohayadin R&D Sri Piandang Katering dan kini kami beroperasi di Perak utara, Kedah dan Pulau Pinang,” katanya.










