PONTIAN 13 Feb. – Sebut sahaja nanas MD2 atau Ananas Comosus, varieti nanas tersebut sangat popular di negara ini sehingga diibaratkan sebagai antara sumber kekayaan baharu.
Apa tidaknya, tanaman tersebut kini sudah mendapat tempat di pasaran antarabangsa khususnya di China yang memerlukan banyak buah nanas MD2 diusahakan oleh pekebun kecil.
Harga jualan kepada pengguna yang membeli di kebun atau ladang secara terus, boleh mencapai harga RM2 hingga RM4 sekilogram bergantung kepada saiz buah nanas tersebut.
Justeru bagi Abdul Rahman Ahmad, 53, tindakannya meninggalkan pekerjaan di sebuah kilang di Johor Bahru untuk pulang ke kampung bagi mengusahakan tanaman nanas adalah satu keputusan yang tepat.
Abdul Rahman mengusahakan tanaman tersebut di atas tanah seluas 0.8 hektar bermula pada 2017 walaupun di peringkat awal menghadapi masalah.
“Antara masalah tentunya soal benih nanas MD2 yang berlegar-legar dalam fikiran, di mana untuk mendapatkan dengan kuantiti yang banyak dan kos pembelian benih,” katanya kepada Utusan Malaysia di Kampung Parit Panjang, Ayer Baloi di sini, baru-baru ini.
Namun itu menjadikannya sebagai satu cabaran dan sebagai anak kampung yang biasa dengan kerja-kerja lasak serta keras, dia terus memandang ke hadapan bagi memenuhi tanggungjawab sebagai ketua keluarga.
“Dengan wang simpanan bekerja di kilang sebelum ini, saya membeli anak benih nanas MD2 dengan pengusaha di Simpang Renggam, Kluang sebelum menambahnya dari semasa ke semasa.
“Pada awalnya saya menanam 2,000 pokok nanas MD2 yang mengambil tempoh matang 12 bulan dan dipasarkan secara terus kepada orang ramai di hadapan kebunnya di Kampung Parit Panjang,” katanya.
Kata Abdul Rahman, kedudukan kebun di persimpangan Jalan Parit Sikom-Parit Panjang ke Felda Bukit Batu yang merupakan laluan keluar masuk melalui Tol Sedenak di Lebuh Raya Utara Selatan, memberi kelebihan kepadanya.
“Ini memberi kelebihan bukan sahaja kepada kami tetapi pekebun nanas lain di Kampung Parit Panjang menjual tanaman mereka kepada orang ramai yang melalui laluan tersebut pada setiap hari,” katanya.
Menurutnya, kerja-kerja menjual nanas MD2 antara 100 hingga 200 biji turut dibantu isterinya, Maslinda Mastor, 41.
Bagi menampung bekalan nanas MD2 supaya tidak terputus, dia turut mendapatkannya daripada pengusaha ladang nanas di Simpang Renggam sebanyak 1,000 biji setiap minggu.
Abdul Rahman berkata, untuk memberi kepuasan kepada pelanggan terutama pelancong, mereka juga diberikan peluang memilih dan memetik sendiri buah nanas MD2 di kebun.
“Pelanggan saya bukan orang Johor sahaja tetapi Melaka, Perak, Kuala Lumpur dan Singapura.
“Nanas kami turut menjadi pilihan pelanggan yang menyambut Tahun Baharu Cina,” katanya.
Abdul Rahman turut berterima kasih kepada kerajaan kerana membina dua unit tandas bagi kegunaan pelancong yang singgah di rumahnya selain pembinaan jambatan baharu masuk ke kebunnya pada tahun lalu.










