Nak lapor kemalangan tapi dicekup hina polis - Utusan Malaysia

Nak lapor kemalangan tapi dicekup hina polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR 18 Feb. – Malang berganda buat seorang lelaki yang terlibat dalam satu kemalangan jalan raya dan hadir membuat laporan di balai polis, tetapi ditahan pula kerana didapati mengeluarkan kata-kata kesat terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) di laman sosial sehari sebelum kemalangan itu berlaku.

Mohd. Iqbal Ibrahim
Mohd. Iqbal Ibrahim 

Lelaki berusia 32 tahun itu ditahan di Balai Polis Trafik Langkawi apabila anggota yang sedang mengambil keterangan kemalangan itu mengecam wajahnya yang dipercayai memuat naik penghinaan tersebut di Facebook, pada Khamis lalu.

Ketua Polis daerah, Superintenden Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, lelaki itu yang bekerja sebagai ejen pelancongan di pulau peranginan itu ditahan kira-kira pukul 2.15 pagi, kelmarin, selepas laporan mengenai penghinaan tersebut dibuat oleh seorang pengadu.

“Hantaran tersebut dimuat naik oleh suspek pada pukul 12 tengah hari, Khamis lalu. Kata-kata tersebut telah menghina pihak polis dan boleh mendatangkan ancaman keselamatan kepada pengadu serta anggota trafik yang bertugas.

“Setelah beberapa jam hantaran itu dibuat di dalam talian, suspek telah memadamnya, namun ia telah ditularkan oleh pengguna melalui pelbagai media sosial lain lagi,” katanya di sini hari ini.

Tambah Mohd. Iqbal, kata-kata penghinaan yang dibuat lelaki itu dipercayai merujuk kepada operasi had laju oleh anggota trafik di Jalan Bukit Tekoh, Langkawi, dekat sini.

“Dia ditahan reman selama empat hari sehingga Rabu ini serta polis turut merampas telefon bimbit miliknya untuk siasatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN