KUALA LUMPUR 6 Feb. – Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, secara jujur beliau telah memaafkan pengkritik dan pembencinya yang terpedaya dengan fitnah yang dilempar pihak lawan.
Menurut Najib, dtidak sedikit pun terlintas dihati beliau untuk menyalahkan mereka yang terpedaya dengan fitnah dan propaganda pihak lawan yang sangat terancang dan dashyat.
“Secara jujurnya, saya sudah memaafkan mereka. Sedikit pun tidak terlintas di hati saya menyalahkan mereka.
“Tidak boleh dinafikan bahawa fitnah dan propaganda mereka sangat terancang dan dahsyat. Mereka tidak bersalah. Malah mereka diperdaya, diguna dan dibohong. Moga Allah memberi taufik dan hidayah kepada kita semua,” kata Najib dalam satu hantaran di Facebooknya.
Najib berkata demikian sebagai reaksi terhadap niat pencipta lagu rap ‘Malu Apa Bossku’ yang mahu bertemu dengannya untuk memohon maaf.
Anak muda dari Sungai Besar yang menggelarkan dirinya Kalam Biru itu berkata, dia berasa amal kesal kerana membenci dan mengkritik Najib melalui lagu-lagunya sebelum ini.
“Saya rasa kesal kerana lagu-lagu yang saya cipta sebelum ini digunakan untuk mengkritik dasar kerajaan dahulu dan bekas Perdana Menteri tanpa menyelidik perkara sebenar terlebih dahulu,” katanya.
Mengambil fenomena ungkapan Malu Apa Bossku yang diungkapkan Najib, Kalam Biru menghasilkan sebuah lagu rap yang kini sudah mendapat lebih 104,000 kali jumlah tontonan di YouTube.-UTUSAN ONLINE










