KUALA LUMPUR 20 Feb. – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman dikemukakan Datuk Seri Najib Tun Razak dan peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah untuk mencabar pelantikan Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya untuk mengetuai pasukan pendakwaan kes jenayah mereka.
Hakim Datuk Azizah Nawawi memutuskan demikian dalam kamar hakim di sini dengan dihadiri Muhammad Shafee yang mewakili Najib dan peguam Harvinderjit Singh bertindak bagi pihak Muhammad Shafee serta Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan.
Hakim Azizah dalam penghakimannya yang diperoleh pihak media berkata, isu berhubung pelantikan Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan itu lebih wajar didengar dan diputuskan di Mahkamah Tinggi Jenayah.
“Mahkamah berpendapat permohonan kedua-dua pemohon adalah sama dengan permohonan di Mahkamah Tinggi Jenayah,” kata hakim itu.
Permohonan semakan kehakiman itu difailkan kedua-dua pemohon pada Disember lalu, dengan menamakan Peguam Negara/Pendakwaraya, kerajaan dan Sri Ram sebagai responden pertama hingga ke tiga.
Dalam permohonan semakan itu, Najib dan Muhammad Shafee antara lain menuntut perintah mahkamah supaya menolak keputusan Peguam Negara untuk tidak mengemukakan surat pelantikan Sri Ram sebagai Ketua Timbalan Pendakwa Raya.
Mereka juga menuntut pengisytiharan bahawa surat lantikan itu ultra vires (melangkaui undang-undang), tidak sah dan terbatal selain perintah untuk membatalkan lantikan tersebut
Selain itu, mereka menuntut perisytiharan terdapat konflik kepentingan dalam lantikan tersebut serta melarang Sri Ram daripada terus mengetuai pasukan pendakwaan dalam semua kes dihadapi mereka antaranya rasuah, salah guna jawatan, dan pengubahan wang haram. – UTUSAN ONLINE










