Najib harap perbicaraan yang adil - Utusan Malaysia

Najib harap perbicaraan yang adil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 7 Feb. – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak masih yakin dan menaruh harapan agar perbicaraan dan penghakiman terhadap kesnya minggu depan berhubung pertuduhan membabitkan syarikat SRC International Sdn. Bhd. (SRC) akan dibuat secara adil.

Najib menghadapi tujuh pertuduhan jenayah membabitkan dana milik SRC berjumlah RM42 juta, iaitu membabitkan tiga pertuduhan pecah amanah, satu tuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram.

Mahkamah menetapkan 12 Februari ini bagi perbicaraan kes terbabit.

“Saya masih yakin dan menaruh harapan yang perbicaraan dan penghakiman terhadap kes saya akan dibuat secara adil. Insya-Allah, saya dan peguam-peguam saya akan menghadapi cabaran-cabaran ini untuk membuktikan bahawa saya tidak bersalah,” katanya menerusi kenyataan dalam laman Facebook beliau hari ini.

Menerusi akaun Facebook beliau itu juga, Najib berkata, beliau didakwa di mahkamah bagi kes SRC pada Julai tahun lalu dan pada masa itu, tarikh perbicaraan ditetapkan pada 12 Februari ini.

Tambah Najib, kemudian pada September lalu, peguamnya (Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah) juga didakwa kerana menerima bayaran untuk khidmat guaman daripadanya.

“Minggu lepas pada 28 Januari iaitu dua hari selepas kemenangan Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands, pendakwa raya menukar dan meminda pertuduhan asal ke atas saya untuk kali kedua dan tiga lagi pertuduhan baharu tentang kes SRC yang baru walaupun tarikh perbicaran hanya dua minggu lagi,” katanya.

Katanya Najib, pada masa sama, tuntutan pihaknya kepada mahkamah untuk membenarkan proses munasabah bagi mencari dan meneliti dokumen-dokumen dan kenyataan saksi juga ditolak oleh mahkamah dan dibantah pendakwa raya.

“Walaupun pertuduhan asal dipinda lagi, tiga lagi pertuduhan baru ditambah dan proses munasabah telah ditolak, tarikh perbicaraan tidak dibenarkan untuk ditukar. Oleh itu, peguam-peguam saya pun bekerja lebih masa untuk menghadapi pertuduhan pertuduhan yang dipinda dan ditambah.

“Dan tiba-tiba pagi ini pula dan tak sampai dua minggu, pendakwa raya beritahu mahkamah bahawa mereka mahu menggugurkan tiga pertuduhan tambahan itu,” katanya.

Disebabkan itu, Najib mengharapkan perbicaraan yang akan dihadapinya dibuat secara adil. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN