Najib dilepas tanpa dibebaskan - Utusan Malaysia

Najib dilepas tanpa dibebaskan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dilepaskan tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi  di sini hari ini terhadap tiga tuduhan tambahan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram berjumlah RM47 juta.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd. Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan pendakwaan yang diketuai Peguam Negara, Tommy Thomas untuk melepas tanpa membebaskan Najib.

“Pendakwa Raya mempunyai kuasa untuk tidak meneruskan atau menolak untuk mendakwa pada mana-mana peringkat perbicaraan. Berdasarkan permohonan Pendakwa Raya, mahkamah memerintahkan tertuduh dilepas tanpa dibebaskan daripada tiga pertuduhan tambahan,” kata hakim. 

Pada 28 Januari, Najib, 66, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi terhadap tiga pertuduhan tambahan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan menerima wang keseluruhannya RM47 juta, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram dalam tiga akaun AmPrivate Banking miliknya.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, No. 55, Jalan Raja Chulan pada 8 Julai 2014 mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – Bernama
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN