Najib, 1MDB, Dana Pas RM90j hantui ceramah PH - Utusan Malaysia

Najib, 1MDB, Dana Pas RM90j hantui ceramah PH

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KINI sudah memasuki hari keenam tempoh berkempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih dan demamnya sudah mula terasa oleh penduduk di sini.

Ceramah kempen parti sudah mula aktif serta bendera-bendera parti banyak bergantungan dan berkibaran di sepanjang jalan raya.

Dalam setiap ceramah kempen yang dijalankan, kedua-dua pihak iaitu Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dilihat memiliki kekuatan masing-masing dan mempunyai kelompok penyokong tersendiri.
Namun, sedikit menghampakan apabila isu serangan peribadi dijadikan modal berkempen segelintir parti dalam beberapa siri ceramah yang dijalankan mereka.

Sepanjang mengikuti beberapa ceramah PH, beberapa isu sering diselitkan sebagai bahan ceramah terutamanya mengenai peri­badi Datuk Seri Najib Tun Razak,1Malaysia Development Bhd., dana Pas RM90 juta, Jho Low dan keburukan kerajaan terdahulu.

Paling banyak nama yang disebut dalam siri ceramah PH adalah Najib, Najib dan Najib.

Dalam aspek lain, PH dilihat tidak boleh ‘move on’ dengan BN dan juga Najib yang sudah tidak lagi berada dalam kerajaan.

Malah, bekas Perdana Menteri itu sendiri menyatakan rasa hairan kerana dirinya menjadi bahan berkempen PH sedangkan dirinya tidak bertanding pada PRK kali ini.

Sebelum terlanjur jauh, PH dilihat terlupa untuk membawa isu yang lebih penting dalam ceramah mereka.

Isu-isu yang boleh diketengahkan PH dalam siri ceramah mereka adalah penjelasan mengenai janji-janji manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14, kos sara hidup, harga barang mening­kat selepas cukai jualan dan perkhidmatan (SST), peluang pekerjaan terhad, rintihan nelayan, petani dan peladang, harga komoditi menjunam dan banyak lagi yang semuanya berkisar rakyat.

Apa dikhuatirkan, sekiranya PH berterusan membuat serangan peribadi dan meng­ungkit cerita lama pemerintahan BN, ia dibimbangi menjadi senjata makan tuan.
Ini kerana rakyat sudah berasa muak dengan permainan isu sama sebaliknya apa yang diimpikan rakyat adalah jalan penyelesaian oleh kerajaan dalam menangani isu-isu semasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN