KAHERAH – Sekurang-kurangnya 20 orang terkorban dalam kemalangan dahsyat melibatkan sebuah tren di stesen kereta api utama Kaherah semalam, kata sumber keselamatan dan perubatan.
Beberapa sumber berkata, kemalangan itu mencetuskan kebakaran di Stesen Kereta Api Ramses dan turut mengakibatkan 40 yang lain cedera.
Angka korban dan kecederaan itu disahkan oleh stesen televisyen rasmi Mesir.
Menurut sumber, kebakaran berlaku selepas kereta api tersebut merempuh penghadang besi di lokasi kejadian.
Rakaman yang disiarkan stesen-stesen televisyen tempatan menunjukkan api marak membakar kereta api tersebut dan platform berhampiran, manakala orang ramai bergegas untuk membantu mangsa.
Sumber sama berkata, sejumlah ambulans dan pasukan keselamatan telah dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Mana-mana individu yang didapati cuai sehingga menyebabkan kemalangan ini akan dipertanggungjawabkan dan hukuman berat akan dikenakan,” kata Perdana Menteri, Mostafa Madbouli semasa melawat lokasi kemalangan.
Rakyat Mesir sudah lama mengadu bahawa kerajaan gagal menangani masalah pengangkutan kronik di negara itu termasuk jalan raya dan landasan kereta api tidak diselenggara dengan baik.
Statistik rasmi pula mendapati sebanyak 1,793 kes kemalangan kereta api berlaku di Mesir pada tahun 2017. – AFP










