KUALA LUMPUR 6 Feb. – Sistem permohonan pinjaman secara dalam talian elektronik, MyAzZahra dijangka memproses lebih daripada RM1 bilion nilai pinjaman pada 2019 dan tumbuh secara eksponen kepada RM3 bilion menjelang 2020.
Ketua Pegawai Eksekutif Orion IXL Berhad, Mohamad Shaharul Mohamad Shariff berkata, sekurang-kurangnya 200,000 ahli koperasi akan menggunakan portal itu tahun ini.
Menurut beliau, MyAzZahra dibangunkan untuk koperasi dan ahli koperasi Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa).
“Pertumbuhan hasil syarikat bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2019 akan dipacu MyAzZahra. Syarikat akan menerima yuran transaksi bagi setiap pinjaman yang diluluskan di bawah sistem ini.
“Ini merupakan usaha sama yang baik untuk kami sertai. Potensi perniagaan ini adalah besar dan kami berharap untuk mencatat pertumbuhan konsisten dari segi prestasi kewangan pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Portal MyAzZahra dilancarkan Januari lalu oleh Menteri Pembangunan Keusahawanan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof. Turut hadir, pada majlis itu, Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah.
Sistem MyAzZahra adalah berasaskan blockchain dan data besar analitik serta akan menggabungkan enjin penarafan kredit dalaman berdasarkan kepintaran buatan (AI) yang disediakan oleh Orion IXL.
MyAzZahra membolehkan Angkasa meningkatkan kepantasan dan kecekapan proses permohonan pinjaman daripada koperasi dan ahli-ahli yang layak dan pada masa sama menambah bilangan permohonan pinjaman.
Sementara itu, Mohamad Shaharul berkata, MyAngkasa Az Zahra Sdn. Bhd. (MyAngkasa Az Zahra) merancang untuk memberi fokus dan menembusi antara lapan hingga 12 koperasi kredit terbesar dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
Katanya, matlamat utama adalah untuk membolehkan MyAzZahra dihubungkan dengan 12 koperasi kredit terbesar di negara ini menjelang akhir 2019.
Menurut Suruhanjaya Koperasi Malaysia, koperasi kredit dan bukan kredit di negara ini memberi pinjaman dalam jumlah yang besar sebanyak RM6.7 bilion pada 2017 kebanyakannya pinjaman peribadi kepada kakitangan kerajaan.











