PERSEKUTUAN Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) memberi jaminan bahawa perlumbaan berprestij Le Tour de Langkawi (LTdL) 2019 tidak berdepan risiko untuk dibatalkan oleh Kesatuan Berbasikal Dunia (UCI) walaupun tarikh asalnya telah ubah.
Ini kerana menurut Presidennya, Datuk Abu Samah Abd. Wahab, perkembangan LTdL 2019 sememangnya sudah diketahui oleh Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) bahawa mereka turut berjanji untuk memberi sokongan penuh kepada PKBM untuk mempercepatkan proses perubahan tarikh tersebut.
Abu Samah yang juga Naib Presiden Kehormat ACC turut yakin pengaruh yang dimilikinya serta Naib Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill di badan induk berbasikal Asia tersebut mampu memastikan proses perubahan tarikh dapat diselesaikan dengan lancar.
“Tidak mungkin LTdL 2019 berdepan risiko untuk dibatalkan kerana ia adalah salah satu perlumbaan yang menawarkan mata tertinggi untuk para pelumba. Malah, ia juga merupakan acara paling berprestij di Asia sejak tahun 1996 dan tidak mungkin akan dibatalkan sewenang-wenangnya.
“Kami telah meneliti semua perkara sebelum menetapkan tarikh baharu tersebut bahawa ia langsung tidak akan menjejaskan mana-mana pasukan yang bakal mengambil bahagian nanti.
“Pada hari ini (semalam), kami telah mendapat surat (pertukaran tarikh) daripada penganjur (Human Voyage (M) Sdn. Bhd) dan sudah pun menghantarnya kepada UCI serta ACC untuk tindakan segera. Mungkin kita akan mendapat maklum balas dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Kelmarin, media melaporkan kerajaan Malaysia mengarahkan LTdL 2019 ditunda kira-kira seminggu daripada tarikh asalnya.
Tarikh yang ditetapkan dalam kalendar Kesatuan Berbasikal Dunia (UCI) menyaksikan saingan yang memasuki edisi ke-24 itu bakal berlangsung pada 24 hingga 31 Mac ini.
Bagaimanapun, atas faktor pertindihan tarikh dengan Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA 19), LTdL 2019 terpaksa berlangsung pada 6 hingga 13 April depan.
Ekoran perubahan tarikh berkenaan, wujud khabar angin yang mendakwa LTdL 2019 berisiko untuk dibatalkan sekiranya tidak mendapat restu daripada UCI.










