Muhammad Aiman enggan buat serangan peribadi - Utusan Malaysia

Muhammad Aiman enggan buat serangan peribadi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU LANGAT 19 Feb. – Pakatan Harapan (PH) tidak akan membuat serangan peribadi terhadap pihak lawan dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

Calon parti itu, Muhammad Aiman Zainali berjanji bahawa dirinya hanya akan memberi tumpuan terhadap isu yang akan diperjuangkannya berbanding menyentuh peribadi lawan.

Katanya, adalah lebih baik untuknya berkempen secara sihat mengikut landasan demokrasi.

“Pada saya, lebih baik kita berkempen dengan cara sihat mengikut landasan demokrasi. Siapa yang menang dan yang kalah, itu terpulang.

“Ya. Saya tidak akan menggunakan kempen secara serangan peribadi,” katanya kepada pemberita selepas melawat orang-orang tua dan terlantar sakit di Kampung Sentosa di sini hari ini.

Ditanya mengenai risalah menyerang peribadi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang diedarkan pada ceramah PH semalam, Muhammad Aiman bagaimanapun menafikan penglibatan pihaknya.

Beliau memberitahu, risalah berkenaan bukan daripada PH.

“Saya tidak tahu itu (risalah) dari siapa. Yang penting, bukan dari pihak kami,”ujarnya.

Perkembangan lain, ditanya mengenai peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang melarang pemberian makanan dan hadiah dalam tempoh berkempen, beliau berkata, pihaknya menurut peraturan berkenaan setakat ini.

“Kita ikut apa yang ditetapkan SPR. Saya melawat kawasan dan golongan tidak berkemampuan pun, kita tidak beri apa-apa,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN