KUALA LUMPUR – Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menekankan peruntukan dana adalah aspek penting dalam Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) selepas idea julung kalinya daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tersebut akan bermula April depan.
Penyelaras Projek Pembangunan Pejabat Serantau FIFA, Niko Nhouvannasak mengakui aspek dana merupakan perkara paling mustahak dari sudut pembangunan terutamanya untuk terus kekalkan MPFL di Malaysia.
“Sememangnya bukan mudah untuk memulakan liga baharu, kita perlukan pengetahuan dan organisasi yang utuh di mana FAM sudah kecapinya pada tahun-tahun lepas.
“Apa yang penting ialah aspek peruntukan dana untuk memastikan ia kekal mampan terutama dalam sudut pembangunan.
“Bagaimanapun, saya percaya dengan sokongan dari FIFA dan AFC, FAM akan menepati ciri-ciri yang diperlukan dalam memastikan liga futsal ini kekal di Malaysia,” kata dalam satu kenyataan yang dikeluarkan FAM sebentar tadi.
Tambah Nhouvannasak, FAM adalah contoh penanda aras terbaik dalam memperkenalkan liga futsal profesional.
“FIFA sentiasa menggalakkan setiap persatuan dalam menganjurkan lebih banyak pertandingan, perlawanan dan FAM adalah contoh terbaik kerana sudah memulakan langkah melabur dalam pertandingan dan infrastruktur.
“Kami berharap usaha ini akan menggalakkan serta menarik lebih ramai pemain dan jurulatih untuk menyertai futsal di masa depan,” katanya.
MPFL akan berlangsung selama enam bulan dengan penyertaan 10 pasukan (Kedah, KL City, Kuala Lumpur, Melaka, Pahang, Perak, Perlis, Sarawak, Selangor dan Terengganu) bagi kategori lelaki manakala lima pasukan (Kedah, Kuala Lumpur, Perak, Perlis dan Selangor) dalam kategori wanita. – K! ONLINE











