MPFL: FAM ada plan B  - Utusan Malaysia

MPFL: FAM ada plan B 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), sudah mempunyai pelan B sekiranya terdapat mana-mana pasukan menarik diri dari Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL).

Perkara tersebut timbul selepas terdapat persoalan berkenaan pasukan Perlis yang kini dilanda kemelut kewangan dan dikhuatiri akan merencatkan perjalanan MPFL yang akan bermula pada April depan.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam memberitahu pihaknya sudah bersedia berdepan sebarang kemungkinan yang akan berlaku kepada Perlis termasuk pasukan lain yang akan bertanding sekiranya menarik diri sebelum liga bermula.

“Saya ada berhubung dengan Setiausaha Perlis dan beliau mengesahkan pasukan lelaki dan wanitanya akan beraksi di MPFL.

“Tetapi FAM tetap mengambil langkah proaktif untuk memastikan jika ada penarikan semula penyertaan Perlis kami sudah bersedia.

“Kami tetap akan menggantikan dengan pasukan lain dan sudah mempunyai pelan B jika Perlis atau mana-mana pasukan lain menarik diri.

“Segalanya akan terjawab pada hari terakhir minggu pertama bulan Mac bagi pasukan yang akan beraksi. Kami lebih gembira jika pasukan berfikiran realiti. Jika tidak bersedia lebih baik menarik diri sekarang berbanding pada pertengahan liga nanti,” katanya ketika ditemui di Shah Alam semalam.

Sebagai rekod senarai awal yang akan menyertai MPFL melibatkan 10 pasukan lelaki iaitu Kedah, KL City, Kuala Lumpur, Melaka, Pahang, Perak, Perlis, Sarawak, Selangor dan Terengganu.
Sementara lima wakil daripada pasukan perempuan iaitu Kedah, Kuala Lumpur, Perak, Perlis dan Selangor.

Pada masa sama, Stuart yakin tiada sebab yang akan menyebabkan pasukan menarik diri memandangkan kos kejohanan tersebut tidak memakan belanja yang besar.

“Saya merasakan memang ia tidak memakan kos yang begitu tinggi yang akan menyebabkan pasukan tarik diri.

“Jadi daripada penukaran status daripada karnival kepada home dan away, pasukan dan pengurusan perlu bertindak dengan lebih cermat dengan bajet yang bersesuaian,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN