LONDON 15 Feb. – Kegagalan membimbing Manchester United musim ini memberikan ‘pulangan lumayan’ kepada Jose Mourinho apabila dia menerima pampasan sebanyak 15 juta pound (RM78.52 juta) selepas dipecat daripada jawatan pengurus The Red Devils.
United memecat Mourinho pada 18 Disember lalu yang menyaksikan mereka terpaksa melunaskan bayaran sebanyak 19.6 juta pound (RM102.6 juta) kepada pengendali Portugal serta kakitangan kejurulatihan yang bersamanya.
Mourinho yang menerima bayaran 9.5 juta pound (RM49.73 juta) ketika Chelsea memecatnya, menerima 15 juta pound (RM78.52 juta) kerana dipecat dalam tempoh 11 bulan sedangkan dia memiliki kontrak selama dua tahun setengah.
United dalam satu kenyataan mengenai prestasi kewangan suku tahun pertama musim ini mendedahkan: “Kami membelanjakan 19.6 juta pound (RM102.6 juta) sebagai pampasan kepada bekas pengurus serta beberapa kakitangan kejurulatihan yang meninggalkan kelab ini.”
Mourinho menerima bayaran 15 juta pound (RM78.52 juta) manakala jurulatih penjaga gol senior, Silvino Louro; pencari bakat, Ricardo Formosinho; jurulatih kecergasan, Stefano Rapetti dan Carlos Lalin serta penganalisa, Giovanni Cera berkongsi 4.6 juta pound (RM24.08 juta).-AGENSI










