Status sebagai orang kurang upaya (OKU) tidak menghalang Muhammad Azamiruddin Ismail, 25, atau lebih mesra disapa Azam untuk menjalani gaya hidup aktif, sekali gus memberi motivasi kepada orang ramai.
Biarpun dilahirkan sebagai OKU kategori fizikal serta menggunakan kerusi roda, namun dia menganggap itu sebagai anugerah teristimewa daripada Allah. Kecacatan yang dialami tidak sedikitpun mematahkan semangatnya untuk menonjolkan diri di hadapan khalayak ramai.
Baginya, kekurangan itu harus dijadikan satu kelebihan bagi menyebarkan aura positif dalam kalangan masyarakat terutama mengubah persepsi orang ramai terhadap golongan OKU.
Katanya, golongan OKU juga boleh berjaya dan memberi inspirasi kepada ramai orang jika diberikan sokongan, dorongan dan peluang.
“Sebagai insan yang berstatus OKU, membuktikan kemampuan pada diri sendiri bukan mudah apatah lagi untuk membuktikan kepada keluarga. Berbekalkan semangat cuba menjadi seorang yang lebih baik, gelaran OKU itu sendiri telah menjadi pembakar semangat dan keyakinan diri.
“Sokongan moral daripada keluarga penting untuk menyuntik semangat dalam melangkah dan membentuk kehidupan yang lebih baik serta berjaya,” katanya kepada Mega Rona.
Anak muda yang berasal dari Sungai Petani, Kedah itu merupakan Presiden Kelab Advokasi Diri OKU, Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sejak lapan tahun lalu.
Dia sering diundang ke majlis-majlis keraian di sekitar negeri Kedah untuk memberi motivasi kepada golongan senasib dan anak-anak yatim.
Muhammad Azamiruddin berkata, tujuannya memberi motivasi adalah untuk mengubah stigma masyarakat terhadap golongan OKU selain mahu memberikan kata-kata semangat dan perangsang kepada OKU untuk berfikiran positif dan mempunyai cita-cita seperti insan normal lain.
“Kehidupan sebagai OKU menjadikan mereka agak malu berdepan dengan situasi sekeliling dan pandangan sesetengah pihak terhadap OKU adalah lebih kepada mengasihani.
“Namun, kita tidak boleh mengharapkan persepsi ini berlarutan. Kita perlu lebih berani mencuba kebolehan serta kemahiran yang ada bagi membuka pandangan masyarakat agar melihat keadaan dan kehidupan OKU kini lebih positif,” ujarnya.
Amat penting katanya, golongan OKU bangkit dan melakukan sesuatu pekerjaan yang mendatangkan manfaat dan tidak terlalu berasa rendah diri dengan kekurangan.
“Memang peluang pekerjaan untuk golongan OKU sangat terhad dalam pasaran terbuka.
“Namun, jika kita rajin berusaha, ada banyak agensi kerajaan yang sedia membantu mencarikan peluang pekerjaan yang sesuai untuk golongan OKU. Antara agensi itu adalah JKM, Jabatan Tenaga Kerja (JTK) serta Jabatan Pertanian.
“Kesemuanya sedia membantu terutama dalam menceburi bidang keusahawanan,” ujarnya lagi.
Tidak pernah menjadikan kekurangan fizikalnya sebagai alasan, Muhammad Azamiruddin menjalankan perniagaan kecil-kecilan di pasar tani untuk menjana pendapatan.
Memulakan perniagaan ikan hiasan dan pelbagai jenis kasut sejak lapan tahun lalu, dia bersyukur kerana mampu mencari rezeki sendiri.
Bijak mencari peluang dalam perniagaan serta rajin merupakan kunci utama untuk terus kekal dalam bidang tersebut.
“Fizikal saya tidak mengizinkan untuk bekerja seperti orang lain. Oleh itu, saya mengambil inisiatif berniaga secara kecil-kecilan.
“Malah, bila tiba bulan Ramadan dan musim perayaan, saya mengambil kesempatan menjual buah kurma serta pelbagai kuih-muih di bazar Ramadan,” jelasnya.










