Mohamad hilang kerusi DUN Rantau - Utusan Malaysia

Mohamad hilang kerusi DUN Rantau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 18 Feb. – Datuk Seri Mohamad Hasan hilang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau selepas gagal dalam rayuannya di Mahkamah Persekutuan hari ini untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Khas Pilihan Raya Seremban pada 16 November lalu
yang mengisytiharkan keputusan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada Pilihan Raya Umum Ke-14  terbatal dan tidak sah.

Serentak itu, Pilihan Raya Kecil DUN Rantau perlu diadakan dalam tempoh 30 hari. 

Panel lima hakim  diketuai Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum memutuskan menolak rayuan perayu iaitu Mohamad dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dengan alasan rayuan yang dibuat tidak ada merit. 

Mahkamah turut memerintahkan setiap perayu membayar kos sebanyak RM10, 000 kepada pempetisyen. 

Pada 16 November lalu, Mahkamah Pilihan Raya Khas di Seremban memutuskan kemenangan Mohamad di kerusi DUN Rantau batal dan tidak sah.

Ini berikutan petisyen difailkan calon PKR, Dr. S. Streram pada 23 Mei untuk mencabar pengisytiharan kemenangan Mohamad yang dibuat SPR.

Dr. Streram, 63, memfailkan petisyen itu selepas beliau tidak dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon kerana tiada pas calon SPR.

Dr. Streram menamakan Mohamad sebagai responden pertama dalam petisyennya, diikuti Pegawai Pilihan Raya, Amino Agus sebagai responden kedua dan SPR sebagai responden ketiga. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN