MFL beri sokongan wakil negara sertai AFC - Utusan Malaysia

MFL beri sokongan wakil negara sertai AFC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) sentiasa memberikan sokongan teguh kepada wakil-wakil negara yang membuat penampilan dalam kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Itulah yang diakui Ketua Pegawai Operasi MFL, Mohd. Shazli Shaik Mohd. dengan menyatakan bahawa MFL sentiasa bersedia membantu dari setiap aspek untuk kelab tempatan membuat persiapan mengharungi Liga Juara-Juara Asia (ACL).

Hari ini, Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) telah membuat permohonan maaf kepada MFL secara terbuka di atas kenyataan awal daripada pihak PAFA yang menyatakan MFL telah menolak permohonan untuk meminda perlawanan sedangkan ia sedang dalam pertimbangan.

Pafa sebelum ini berhajat untuk meminda pertemuan menentang Kuala Lumpur sebagai persiapan terbaik bertemu kelab Korea Selatan, Ulsan Hyundai pada 19 Februari ini selepas menyingkirkan Kitchee FC 6-5 menerusi penentuan sepakan penalti apabila terikat 1-1 selama 120 minit di Stadium Perak, Ipoh pada pusingan kelayakan ACL, Selasa lalu.

Dengan mengambil kira agenda bola sepak negara bermain di peringkat antarabangsa, MFL hari ini mengumumkan perlawanan tersebut akan dipinda kepada tarikh yang akan diumumkan kelak selepas perbincangan bersama Persatuan BolaSepak Kuala Lumpur (KLFA) dan kelulusan Ahli Lembaga Pengarah MFL.

“MFL mengambil kira jika Perak menang ke atas kelab Korea ini (Ulsan), kita akan melihat dua wakil negara (Perak dan Johor Darul Ta’zim) yang bertanding di ACL.

“Sudah pasti ia akan menjadi satu kejayaan yang cukup besar kepada Liga Malaysia sendiri selain kita akan mendapat mata (ranking) lebih tinggi bagi pasukan-pasukan yang akan bertanding di ACL musim depan.

“MFL sentiasa memberikan sokongan dan menganggap ini adalah satu perkara baik tetapi dalam masa yang sama, pasukan-pasukan juga harus terima dengan setiap peraturan yang ditetapkan.

“Mungkin pada masa akan datang, pasukan-pasukan ini harus berbincang dengan MFL dahulu dan berdasarkan jadual sebelum ini sebenarnya Perak telah mendapat tiga hari sebelum perlawanan (menentang Kuala Lumpur) yang mana itu adalah SOP (prosedur operasi standard) pertandingan AFC,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Shazli menegaskan prosedur meminda perlawanan tidak menelan masa singkat sebelum keputusan dibuat seperti yang disangka oleh mana-mana pihak.

“Benar MFL telah menerima permohonan pindaan perlawanan daripada pasukan Perak menentang Kuala Lumpur untuk aksi Liga Super yang sepatutnya berlangsung esok.

“Kita menerima permohonan itu pada hari Rabu (semalam) pada pukul 11.10 pagi. Kita harus faham apabila pihak sekretariat untuk membuat semakan dan penilaian terhadap pindaan perlawanan itu akan mengambil masa.

“Daripada sudut itu kita kena menerima bahawa kesemua pasukan yang bertanding di Liga Malaysia ini adalah rakan kongsi kepada MFL.

“Kita menilai dan membuat semakan tetapi pasukan Perak memiliki asas yang kuat dan pihak sekretariat membuat keputusan untuk menunda perlawanan tersebut,” tambahnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN