Mercun untuk Tahun Baharu Cina bernilai RM90,000 dirampas - Utusan Malaysia

Mercun untuk Tahun Baharu Cina bernilai RM90,000 dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH 4 Feb. – Pelbagai jenis mercun bernilai RM90,000 dipercayai diseludup dari negara jiran untuk diedarkan sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina dirampas polis dalam dua serbuan di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, dalam serbuan itu, pihaknya turut menahan dua lelaki berusia 25 dan 35 tahun.

Menurut beliau, serbuan pertama dibuat di sebuah rumah di Raja Uda di sini kira-kira pukul 12.15 tengah malam dengan nilai rampasan mercun kira-kira RM50,000.

Serbuan kedua pula, tambahnya, dilakukan ke atas sebuah rumah kedai di Bagan Ajam di sini pada pukul 3 pagi dan merampas pelbagai jenis mercun bernilai RM40,000.

“Hasil serbuan di lokasi yang dijadikan tempat menyimpan mercun tersebut, sebanyak 71 kotak besar berisi pelbagai jenis mercun dan bunga api dirampas,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah SPU, Kepala Batas di sini hari ini.

Menurut Noorzainy, hasil siasatan mendapati suspek menjual dan mengedarkan sendiri mercun terbabit kepada peniaga lain bagi pasaran di sekitar Kepala Batas dan Butterworth.

Katanya, siasatan turut mendapati stok mercun tersebut telah disimpan sejak dua bulan lalu sebelum perayaan Tahun Baru Cina.

“Kedua-dua suspek direman sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN