Menteri Kemboja bertemu dengan 47 rakyat Malaysia yang ditahan - Utusan Malaysia

Menteri Kemboja bertemu dengan 47 rakyat Malaysia yang ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 12 Feb. – Menteri di Jabatan Perdana Menteri Kemboja, Oknha Datuk Dr. Othsman Hassan telah berjumpa dengan semua 47 rakyat Malaysia yang ditahan di penjara di Poi Pet, kira-kira 446km dari Phnom Penh ibu negara Kemboja, bagi melihat sendiri masalah mereka.

Ketua badan bukan kerajan (NGO) Antarabangsa, Datuk Dr. Mustapha Ahmad Marican berkata, dalam pertemuan itu semalam, Othsman telah mendengar keluhan dan kesusahan mereka serta sedia membantu sebarang keperluan sepanjang berada dalam tahanan.

“Menurut Oknha Datuk Dr Othsman Hassan, hasil lawatan tersebut beliau dimaklumkan mereka semua terpedaya dengan tawaran kerja di hotel-hotel di kawasan pelancongan Siem Reap. Tetapi apabila mereka tiba di sini ejen pekerjaan berkenaan telah  mengambil pasport dan telefon bimbit yang menyebabkan kesemua mereka terputus hubungan dengan keluarga dan rakan-rakan,” katanya kepada Bernama dari Phnom Penh.

Mustapha memberitahu, Othsman telah bersetuju untuk membawa perkara berkenaan kepada Perdana Menteri Hun Sen dalam masa terdekat, selain berjanji akan cuba menyelesaikan kes tersebut secepat mungkin.

Selain itu ujarnya, Othsman turut menyatakan penghargaannya kepada pihak NGO Antarabangsa yang sentiasa berhubung dengannya untuk menyelesaikan perkara tersebut.

Khamis lepas, Wisma Putra mengesahkan laporan penahanan 47 rakyat Malaysia itu di Poi Pet, sejak 11 Dis tahun lalu.

Menurut Wisma Putra, mereka ditahan atas pertuduhan menipu, membuka dan menjalankan aktiviti perjudian dalam talian secara haram.- BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN