Melahirkan pendaki berpengetahuan - Utusan Malaysia

Melahirkan pendaki berpengetahuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Aktiviti lasak dan rekreasi semakin menarik minat pelbagai lapisan masyarakat. Aktiviti lasak termasuk larian jejak (trail), rentas denai dan mendaki bukan sekadar hobi atau bertujuan ingin menikmati keindahan alam, malah aktiviti itu turut menjadi platform untuk beriadah bagi menjaga kesihatan dan meningkatkan stamina.

Sementara itu, aktiviti tersebut kini turut menjadi sumber rezeki apabila ramai peminat rekreasi memiliki kumpulan pendaki atau syarikat bagi perkhidmatan menyelaras dan menganjurkan program lasak dan santai.

Begitu juga dengan permintaan untuk khidmat juru pandu arah yang semakin diperlukan.

Menerusi kumpulan pendaki atau syarikat, aktiviti yang dianjurkan menjadi semakin teratur, lebih selamat dan mampu menarik lebih ramai peminat untuk menceburkan diri dalam aktiviti lasak ini.

Di sebalik perkembangan tersebut, perkara negatif tidak dapat dielakkan. Justeru, ia memerlukan pembaikan dan perhatian. Seringkali tular dalam media sosial mengenai penganjur atau gogo (istilah pendaki merujuk kepada penganjur) gagal menjalankan program walaupun telah mengambil yuran daripada peserta.

Kegagalan penganjur kadangkala disebabkan perkara yang tidak dapat dielakkan seperti cuaca dan faktor lain. Tidak kurang juga atas sebab penipuan atau jalan singkat untuk mencari keuntungan.

Pada 2018 sahaja terdapat berpuluh-puluh mangsa yang tertipu dengan penganjur program melibatkan kerugian hingga puluhan ribu ringgit.

Selain itu, terdapat penganjur yang terdiri daripada individu atau syarikat berdaftar yang kurang pengalaman dan tidak mementingkan isu keselamatan. Terdapat penganjur yang tidak merancang dengan baik sehingga membuat jadual program yang tidak mengambil kira proses penyesuaian altitud (acclimatization) yang sesuai.

Sebagai contoh, untuk mendaki ke puncak di ketinggian 5,000 meter dari paras laut (dpl), peserta memerlukan masa penyesuaian altitud secara berperingkat sekurang-kurangnya lima hingga enam hari, bermula dari paras 2,500 meter.

Namun, terdapat penganjur yang mengambil mudah iaitu mengadakan program mendaki sehingga 5,000 meter dalam tempoh tiga atau empat hari. Ini membahayakan pendaki (pelanggan) yang berisiko tinggi diserang penyakit akut gunung.

Selain itu, kemungkinan untuk berjaya tiba di puncak adalah lebih rendah kerana keadaan tubuh yang masih tidak dapat menyesuaikan diri dengan perubahan altitud.

Semua pendaki termasuk pendaki profesional tetap perlu menjalani proses penyesuaian altitud sebelum mendaki.

Perlu diingat, proses penyesuaian altitud adalah perkara asas dan kehilangan nyawa boleh berlaku jika jadual pendakian tidak dirancang dengan betul.

Terdapat juga penganjur yang tidak memberikan nasihat yang betul mengenai jenis pakaian dan peralatan yang sesuai kepada pendaki.

Akibatnya pendaki terdedah kepada bahaya suhu sejuk yang berisiko diserang hyportemia, gigitan fros (frost bite) atau kecederaan lain.

Begitu juga dengan peralatan teknikal yang lain. Selain itu, penganjur harus peka dengan musim pendakian yang sesuai.

Secara am, pendakian semasa musim sejuk lebih berisiko tinggi berbanding musim panas atau musim bunga. Untuk mengelak kemungkinan cuaca buruk atau keadaan sejuk ekstrem, ekspedisi haruslah dirancang pada musim yang sesuai.

Kes cabul pendaki serius

Aktiviti rekreasi di dalam negara juga perlu diberi perhatian. Saban hari pelbagai kes berlaku dan mendapat perhatian masyarakat. Kes seperti kecederaan, sesat atau kemalangan, kebanyakannya adalah akibat kurang persediaan dan pengetahuan.

Baru-baru ini terdapat laporan pendaki wanita mengalami gangguan seksual semasa ekspedisi. Kes seperti ini amat sukar dibuktikan walaupun telah membuat laporan polis.

Pada akhirnya pelaku perbuatan terkutuk itu bebas dan mungkin mengulangi perbuatan sama dalam ekspedisi lain pula. Perkara ini amat serius dan perlu dicegah dengan segera. Penganjur harus menyediakan persekitaran yang baik dan membataskan pergaulan untuk mengelakkan perkara itu berulang.

Sebagai pendaki, kita perlu saling bekerjasama mewujudkan amalan pendakian yang sesuai dengan piawaian keselamatan. Diharapkan pendaki Malaysia dikenali di luar negara sebagai pendaki yang mementingkan keselamatan. Tiada istilan ‘take things for granted’ dalam aspek keselamatan.

Setiap pendaki juga harus bijak memilih penganjur dan juru pandu arah. Untuk pendakian dalam negara, adalah disarankan menggunakan khidmat juru pandu arah yang berdaftar dengan Persatuan Malim Gunung Malaysia bagi memastikan mutu penganjuran dan keselamatan.

Peserta juga digalakkan memilih penganjur yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya untuk memastikan keupayaan dan pengalaman mereka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN