Medan Quantum ceburi teknologi baharu - Utusan Malaysia

Medan Quantum ceburi teknologi baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 3 FEB. – Medan Quantum Sdn. Bhd., pengimport kenderaan mewah terpakai komited menceburi sektor teknologi baharu seiring usaha kerajaan mempergiat Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0).

Pengarah Urusan Medan Quantum, Hamzi Qayyum berkata, kumpulan ingin me­neroka internet Segala-galanya (IOT) dan data besar yang boleh dimanfaatkan dalam sistem stok menjadi lebih sistematik.

Katanya, usahawan bumiputera perlu bijak ke arah pendigitalan dan globalisasi seterusnya pantas mengambil peluang di dalam teknologi inovatif global.

“Meskipun kami tidak mempunyai kepakaran mendalam bagi sektor baharu ini, kami mengambil inisiatif mempelajari dan percaya ia akan me­nyumbang kepada ekonomi negara,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Me­dan Quantum merupakan ahli Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) telah ditubuhkan sejak 2007.

Mengenai dasar permit import (AP), Pengarah Medan Quantum, Tabira Tahir berkata, permit itu penting buat peniaga dalam usaha menawarkan kereta mahal dan berkualiti pada harga berpatutan.

“Hasil daripada perniagaan ini bukan sahaja menyumbang kepada kerajaan dan agensi terlibat malah memberi limpahan rezeki buat bengkel aksesori kereta dan agensi kapal penghantaran,” katanya.

Pada 19 Januari lalu, ­Me­dan Quantum dan Perniagaan Shirba Sdn. Bhd., membuka bilik pa­meran MQ Cars dan Shirba di Jalan Ampang di sini.

Ujar Tabira, pembukaan dua bilik pameran di bawah satu bumbung itu me­nunjukkan anjakan paradigma dalam ka­langan usahawan bumiputera untuk bersaing secara sihat.

Jelasnya, gandingan Medan Quantum dan Perniagaan Shirba dalam masa sama mencerminkan kemuafakatan bumiputera kini semakin erat serta tiada lagi mentaliti lama.

“Lokasi yang dipilih adalah begitu strategik dengan hanya jarak dua kilometer dari pusat bandar raya Kuala Lumpur, malah terdapat 10 bilik pameran kereta import lain sepanjang ­Jalan Ampang ini.

“Ini membolehkan bakal pembeli membuat perban­dingan dengan mudah bagi memilih kereta yang diminati. Saya yakin persaingan sihat ini akan memberi impak positif kepada ekonomi,” katanya.

Bilik pameran dua tingkat tersebut menawarkan ­ruang yang cukup besar untuk memuatkan pelbagai kereta mewah berjenama seperti Lamborghini, Porsche, Toyota, Honda dan Mercedes Benz.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN