KUALA LUMPUR 13 Feb. – Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan menyediakan perkhidmatan bas percuma iaitu PJ Bus City dari beberapa stesen terpilih ke lokasi majlis rumah terbuka sempena perayaan Tahun Baharu Cina peringkat Negeri Selangor 2019, Sabtu ini.

Majlis itu akan berlangsung di Dataran Petaling, Seksyen 52, Petaling Jaya bermula dari pukul 7 malam hingga 10.30 malam.
Pegawai Komunikasi Korporat MBPJ, Ahmad Iskandar Mohamad Mukhtar berkata, perkhidmatan itu akan beroperasi sehingga pukul 12 tengah malam dengan dua buah bas di setiap laluan (Terminal Bas Taman Medan, LRT Taman Jaya dan LRT Taman Bahagia) yang memberi kekerapan antara 15 hingga 20 minit.
Katanya, MBPJ juga menyediakan sebanyak 4,009 petak letak kenderaan di sembilan lokasi secara percuma dan berbayar untuk pengunjung yang datang menaiki kereta.
“Bagi lokasi tempat letak kenderaan, orang awam boleh meletakkan kenderaan di Tempat Letak Kereta Awam Seksyen 10, Taman Jaya, Amcorp Mall; PJX; Jabatan Pengangkutan Jalan; Kompleks C, Bangunan Persekutuan; On Street Parking Seksyen 53 dan Kompleks A,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sementara itu, Invest Selangor Berhad dalam satu kenyataan berkata, majlis tersebut akan disempurnakan oleh Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin Abdul Rahman dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Katanya, acara itu diisi dengan pelbagai aktiviti antaranya sumbangan angpow kepada kanak-kanak berusia di bawah 12 tahun, persembahan kebudayaan dan jamuan makan.
“Seramai 11,000 tetamu dijangka mengunjungi rumah terbuka ini dan ia menjadi antara acara yang terbesar dianjurkan di negeri Selangor pada 2019,” katanya. – UTUSAN ONLINE










