Mayat pemancing cuba selamat lima sekeluarga ditemukan - Utusan Malaysia

Mayat pemancing cuba selamat lima sekeluarga ditemukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU 10 Feb. – Seorang pemancing yang hilang semasa cuba menyelamatkan lima sekeluarga di muara Sungai Terengganu di Pulau Warisan di sini kelmarin, ditemukan pada pukul 7.24 pagi ini. 

Mayat Abdul Bari Asyraf Mohd., 30, dijumpai di sekitar muka kuala tanjung oleh pihak bomba dan orang awam dalam keadaan terapung kira-kira 2.5 kilometer daripada tempat mangsa dilaporkan lemas. 

Komander Operasi Bomba, Sharikan Bustaman berkata, mayat mangsa telah dibuat pengecaman oleh keluarga dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut pada pukul 7.50 pagi. 

Mayat kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ). 

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.45 malam itu, Abdul Bari Asyraf dikhuatiri lemas ketika cuba menyelamatkan lima sekeluarga di dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda yang terjunam di muara Sungai Terengganu di Pulau Warisan.

Dia yang ketika itu memancing berdekatan bertindak terjun dan selainnya, terdapat lima lagi orang awam turut berbuat demikian iaitu Asadullah, Saiful Anuar, Omar, Shahrul Mizan dan Mohd. Amirol Hafizol. 

Tindakan pantas mereka berjaya menyelamatkan lima sekeluarga iaitu Suryati Rusly, 37; Nordiana Alwani Jaafar, 33; Asmaa Rusly, 23; Syafawani Jaafar, 11; dan Iman Nur Hana Luthfia Mohd. Amiruddin yang berusia tiga tahun. – UTUSAN ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×