KULAI 7 Feb. – Mayat seorang kanak-kanak lelaki ditemukan terapung-apung dalam kolam tadahan air tapak pembinaan di Jalan Sri Putri, Taman Sri Putri, Johor Bahru, semalam.
Mangsa, Mohd. Zahid Irfan, 10, sebelum ini hilang sejak petang kelmarin sebelum ibunya, 35, membuat laporan polis pagi semalam selepas mendapati anaknya tidak pulang ke rumah.
Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, suri rumah itu mendakwa anaknya keluar bermain kira-kira pukul 4 petang kelmarin dan tidak pulang ke rumah.
“Pada 5.30 petang semalam, polis menerima panggilan daripada seorang lelaki memaklumkan penemuan mayat kanak-kanak lelaki di tapak pembinaan di Taman Sri Putri.
“Unit forensik yang menjalankan siasatan di tempat kejadian mengesahkan tiada unsur jenayah, termasuk tiada sebarang kesan pergelutan di sekeliling kawasan berkenaan.
“Selain itu, mayat mangsa ditemui dalam keadaan terapung di kawasan tadahan air semula jadi itu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










