KOTA TINGGI 7 Feb. – Empat beranak yang terkorban dalam satu kemalangan di sini tengah malam tadi dalam perjalanan pulang selepas menziarahi keluarga mereka di Kampung Bentong, Kluang sempena cuti Tahun Baru Cina.
Adik bongsu mangsa, Nor Aini Januri, 28, berkata, abangnya, Mohd. Firdaus, 34, dan isteri serta dua anaknya itu juga baru sahaja melihat rumah baharunya.
“Mereka sekeluarga juga teruja ekoran baharu sahaja melawat dan melihat rumah yang baru dibeli di Kluang berdekatan rumah keluarga.
“Abang dan keluarganya bercuti di kampung sempena cuti Tahun Baru Cina dan pada masa sama saya juga bercuti menziarahi emak ayah.
“Mereka hendak pulang ke rumah mereka (ketika kejadian) di kuarter guru di Kota Tinggi, abang saya kerja juruteknik elektrik manakala kakak ipar saya kerja sebagai pembantu tadbir kewangan di Pejabat Pendidikan Daerah Kota Tinggi,” katanya ketika ditemui pemberita di Jabatan Forensik, Hospital Kota Tinggi (HKT) di sini sebentar tadi.
Dalam kejadian pukul 12.33 tengah malam tadi, Mohd. Firdaus, isteri, Norlia Osman, 33, dan dua anak mereka Muhammad Adli, 6, dan Nur Dalili, 4, di lokasi kejadian.
Kejadian di kilometer 55 Jalan Kluang-Kota Tinggi dekat sini itu berlaku apabila kereta Honda Civic empat beranak itu dirempuh sebuah lori yang masuk ke laluan bertentangan.
Akibatnya lori berkenaan masuk ke kawasan gaung manakala sebuah kereta Proton Saga di belakang Honda Civic tersebut gagal mengelak sebelum melanggar belakang kereta tersebut.
Jelas Nor Aini, keluarga abangnya itu sempat bermalam satu hari di rumah yang baru dibelinya itu sebelum mereka meluangkan masa bersama di rumah bapa di Kampung Bentong.
Dia tidak menyangka kegembiraan keluarga abang sulungnya itu yang disifatkan sebagai seorang yang penyayang hanya sekejap apabila mereka dijemput Ilahi sekelip mata.
“Sewaktu di kampung, tiada banyak perubahan cuma kelmarin emak ada memasak rendang daging untuk juadah kami sekeluarga dan itu antara menu kegemaran abang saya,” katanya.
Jenazah empat beranak itu akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bentong selepas solat Zohor pada petang ini. – UTUSAN ONLINE










