Maut dilanggar kereta dalam perjalanan ke masjid - Utusan Malaysia

Maut dilanggar kereta dalam perjalanan ke masjid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH – Seorang lelaki warga emas meninggal dunia dalam perjalanan ke masjid  selepas dirempuh kereta dari arah bertentangan di Kampung Tok Said, di sini malam tadi. 

Dalam kejadian pada pukul 7.30 malam, mangsa, Ali Deraman, 66, sedang menunggang motosikal jenis Modernas di Kilometer 8, Jalan Pasir Puteh ke Semerak.

Difahamkan, mangsa dirempuh sebuah kereta jenis Toyota Vios yang datang dari arah yang bertentangan. 

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, anggota polis trafik ke lokasi kejadian sebelum mendapati mangsa telah meninggal dunia serta-merta. 

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal ke masjid untuk solat Maghrib sebelum sebuah kereta dari arah Semerak merempuh bahagian hadapan motosikalnya. 

“Akibat kemalangan itu mangsa terjatuh dari motosikal dan mengalami cedera parah pada bahagian kepala dan pergelangan lutut. 

“Pemandu kereta yang juga seorang tukang masak beralamat di Kota Bharu berusia 34 tahun tidak mengalami kecederaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. 

Abdul Rozak berkata, pemandu kereta itu didapati postif dadah selepas menjalani saringan ujian air kencing di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh malam tadi. 

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1)Akta Pengangkutan Jalan (JPJ) 1987 manakala kes penagihan dadah diserahkan kepada cawangan narkotik untuk tindakan lanjut.

Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospitak Tengku Anis (HTA) Pasir Puteh untuk bedah siasat sebelum dituntut oleh anggota keluarganya pagi ini. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN