KUALA LUMPUR 21 Feb. – Masalah etika dan moral yang berlaku dalam kalangan masyarakat sehingga menyebabkan ketidakseimbangan sosial berlaku menjadi satu daripada punca jurang golongan kaya dan miskin menjadi terlalu besar ketika ini.
Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, hal itu kerana aspek etika dan moral tidak lagi diberi penekanan dalam kebanyakan perkara.
“Pembangunan sosial berdasarkan nilai-nilai murni dapat meminimumkan masalah sosial dan pada masa sama memberi manfaat kepada pembangunan negara. Kita tidak boleh mengukur kemajuan masyarakat dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan kemajuan teknologi semata-mata.
“Sifat tanggungjawab dan pemurah hati golongan kaya untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik perlu diambil kira apabila kita mahu mencapai pembangunan sosial secara keseluruhan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Lam Thye berkata, pembangunan sosial berdasarkan nilai-nilai murni dapat meminimumkan masalah sosial dan pada masa sama memberi manfaat kepada pembangunan negara.
Katanya, pembangunan negara perlu dicapai menerusi institusi keluarga yang kukuh kerana ia adalah tempat terbaik untuk menghasilkan generasi muda yang mampu menjadi tunjang negara. -UTUSAN ONLINE










