KUALA LUMPUR 8 Feb. – Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya terus mempertahankan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan yang dimilikinya dari Cambridge International University (CIU) Amerika Syarikat.
Jelas Marzuki, beliau juga tidak pernah berniat untuk menggambarkan dirinya mendapat pendidikan di University of Cambridge.
“Seikhlasnya, niat saya ketika itu ialah untuk menimba ilmu kontemporari dan terkini mengenai industri perkapalan dan logistik di negara maju, termasuklah di Amerika Syarikat.
“Harapan saya ialah agar ilmu yang diperolehi akan dapat membantu mengembang dan memajukan perniagaan perkapalan yang saya usahakan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Marzuki, beliau memulakan pengajian jarak jauh bersama CIU pada tahun 2002 iaitu 17 tahun lalu ketika berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif syarikat perkapalan dan logistik miliknya di Pulau Pinang.
Tambah Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu, beliau turut mengikuti beberapa subjek asas yang berkaitan dengan bidang perkapalan dan logistik ketika mengikuti pengajian seperti Pengurusan Lojistik I; Pengurusan Lojistik II; Pegurusan Kawalan Stok; Pengurusan Rantaian Bekalan dan Pengurusan Strategik.

“Sejujur dan seikhlasnya saya tidak pernah berniat untuk menggunakan kelayakan akademik yang ada bagi mengelirukan sesiapa.
“Ini kerana niat asal pengajian saya 17 tahun dahulu adalah untuk menimba ilmu dalam bidang perniagaan yang saya ceburi. Ketika itu tidak pernah terlintas di hati saya bahawa suatu hari nanti saya akan berada pada kedudukan hari ini sebagai seorang anggota pentadbiran kerajaan,” kata beliau.
Sehubungan itu, Marzuki berharap penjelasan berserta transkrip dari CIU hari ini dapat meleraikan kekeliruan masyarakat.
“Dengan ini juga, saya menyerahkan kedudukan saya sebagai Timbalan Menteri Luar Negeri dan Setiausaha Agung Bersatu kepada Perdana Menteri dan kepimpinan parti,” katanya. – UTUSAN ONLINE.










