KLANG – Malaysia menggesa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengheret segera penjenayah yang terlibat dalam isu penghapusan etnik Rohingya di wilayah Rakhine, Myanmar ke muka pengadilan.
Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, kerajaan tetap dengan pendirian bahawa etnik Rohingya adalah penduduk asal Myanmar yang telah dinafikan hak kerakyatan sehingga kini menjadi pelarian.
“Meskipun perkara ini mengambil tempoh lama, tetapi saya difahamkan ICC ini telah memulakan penyiasatan.
“Tentulah Malaysia mahu terlibat sama untuk memastikan penjenayah-penjenayah ini akan dibawa kemuka pengadilan dan akan dikenakan hukuman. Kita sangat serius mahu pelaku dihadap ke muka pengadilan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melakukan lawatan ke Pusat Bimbingan Alternatif Rohingnya Education Centre (REC) di Kampung Batu Belah, di sini hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Program Pendidikan Jaringan Pusat Pendidikan Rohingya (JREC), Ahmad Azam Ab Rahman.
Mengulas lanjut beliau berkata, pasukan penyiasat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pun sudah menamakan enam ‘jeneral’ Myanmar yang didakwa terbabit dalam jenayah berkenaan
Dalam pada itu, Saifuddin berkata, dasar Malaysia buat masa ini adalah bersedia menerima kemasukan pelarian Rohingya.
“Ketika ini, seramai 160,000 pelarian Rohingya berlindung di negara ini dan sebanyak 25 peratus daripada jumlah itu diberi kemudahan pendidikan,”ujarnya.
Media sebelum ini melaporkan, Pasukan penyiasat PBB menegaskan pegawai kanan tentera Myanmar, termasuk pemerintah tertingginya perlu didakwa kerana jenayah perang terhadap penduduk Islam Rohingya.
Jawatankuasa itu yang ditubuhkan Majlis Hak Asasi Manusia PBB pada Mac 2017, mendapati tentera Myanmar melakukan tindakan yang tidak diragui menyalahi undang-undang jenayah antarabangsa.
Pasukan penyiasat itu menamakan Pemerintah Tertinggi Tentera Myanmar, Jeneral Kanan Min Aung Hlaing dan lima lagi pegawai kanan tentera, yang didakwa terbabit dalam jenayah itu. – K! ONLINE











