KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini sebentar tadi memerintahkan isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor untuk memeriksa dan mengesahkan kewujudan 44 unit barangan kemas bernilai hampir RM60 juta di bawah milikannya yang dirampas polis tahun lalu dalam masa tujuh hari bermula hari ini.
Perkara itu dimaklumkan peguam David Gurupathan David yang mewakili syarikat pemborong barangan kemas berpangkalam di Lubnan, Global Royalty Trading SAL selepas prosiding pengurusan kes itu dalam kamar Pesuruhjaya Kehakiman Wong Chee Lin.
Peguam itu ketika ditemui selepas prosiding kes berkata, mahkamah telah memerintahkan untuk Rosmah membuktikan di mana barangan kemas itu berada dan bukan anak guamnya berbuat demikian.
Katanya, ia berikutan Rosmah telah mengesahkan menerima dan menandatangani konsaimen barangan kemas terbabit apabila sekarang beliau menyatakan barangan kemas itu dirampas oleh polis dan beliau tidak perlu membuat pembayaran.
“Mengikut peruntukan undang-undang ia juga bukan tugas polis untuk membuktikannya (kewujudan barangan kemas berkenaan),” katanya yang akan tetap meneruskan perbicaraan kes saman itu yang di jadualkan pada pada 4 dan 5 Mac ini.
Isnin lalu, Rosmah akan menfailkan permohonan untuk menggantung prosiding kes samannya memandangkan sehingga hari ini kerajaan masih belum mengesahkan status 44 unit barang kemas tersebut sama ada berada pada pihak polis ataupun Rosmah.
Pada 20 Ogos 2018, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan kerajaan untuk menjadi pencelah dalam kes saman itu dan dinamakan sebagai defendan kedua.
Pada 26 Jun 2018, Global Royalty menyaman Rosmah menuntut beliau memulangkan 44 unit barang kemas yang dihantar kepadanya untuk dipilih atau membayar harga untuk semua barangan kemas berkenaan.
Dalam pernyataan tuntutannya, Global Royalty, pemborong barang kemas antarabangsa, mendakwa bahawa Rosmah telah lama menjadi pelanggan tetapnya dan bahawa firma itu akan menghantar konsaimen barang kemas kepadanya atas permintaan beliau. – K! ONLINE










