Maduro sekat bantuan, 2 maut - Utusan Malaysia

Maduro sekat bantuan, 2 maut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CARACAS 24 Feb. – Pertempuran berdarah berlaku di sebuah pekan sempadan Venezuela, semalam ketika Presiden Nicolas Maduro menyekat bantuan kemanusiaan dari Colombia dan Brazil daripada memasuki negara ini.

BBC yang memetik kumpulan hak asasi manusia berkata, sekurang-kurangnya dua orang terbunuh akibat ditembak termasuk seorang remaja berusia 14 tahun.

Tentera Venezuela turut menggunakan gas pemedih mata dan peluru getah ke atas penunjuk perasaan yang cuba mengambil dan membawa bantuan tersebut.

Pihak pembangkang mahu bantuan itu sampai kepada rakyat yang terjejas akibat krisis ekonomi negara ini ketika Maduro mendakwa langkah terbabit sebagai satu ancaman keselamatan.

Trak yang sarat dengan muatan makanan dan ubat-ubatan itu berpatah balik ke Colombia selepas penyokong pembangkang gagal melepasi halangan tentera hingga menyebabkan berpuluh-puluh orang cedera.

Berang dengan sokongan kerajaan Colombia kepada pemimpin pembangkang, Juan Guaido, Maduro menamatkan hubungan diplomatik de­ngan Bogota dan mengarahkan kakitangan diplomat negara itu meninggalkan Venezuela dalam tempoh 24 jam.

Oleh kerana kira-kira 30 juta penduduk Venezuela berdepan masalah kekurangan makanan dan penyakit, pembangkang berharap tentera dapat menghalang tindakan Maduro selain membawa masuk bekalan makanan dan ubat-ubatan tersebut.

Menurut seorang saksi, dua buah trak makanan terbakar ketika orang ramai berlumba-lumba mendapatkan bekalan makanan itu di sempadan Urena.

Guaido memberitahu bahawa beliau akan terus menuntut Maduro untuk membenarkan misi bantuan itu memasuki negara ini selain mencari jalan penyelesaian untuk mengatasi masalah itu.

“Hari ini dunia berpeluang menyaksikan wajah jahat seorang diktator Venezuela. Kita dapat melihat betapa seseorang itu boleh bersikap tidak prihatin meskipun di kala melihat rakyat nya sengsara,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN