KUALA NERANG – Produk madu tualang dari daerah Padang Terap akan diketengahkan ke peringkat antarabangsa melalui promosi yang dilakukan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
Pengerusi FAMA, Ishak Ismail berkata keputusan itu dibuat setelah kajian mendapati madu tualang mempunyai kualiti dan khasiat yang terbaik serta berpotensi untuk menembusi pasaran global yang kini dikuasai pengeluar madu dari timur tengah.
Bagaimanapun katanya, produk madu tualang perlu melalui proses penapisan oleh panel FAMA di peringkat kebangsaan pada Mei depan bersama beberapa produk lain yang mewakili setiap negeri seluruh negara.
“Setiap negeri akan menghantar sekurang-kurangnya dua produk untuk dihantar kepada panel terbabit dan kita akan pilih satu tetapi di Kedah setakat ini kita percaya produk madu tualang adalah yang terbaik dan layak diketengahkan.
“Usahawan-usahawan madu tualang ini akan dibawa memperkenalkan madu mereka di luar negara sekaligus kita juga akan memperkenalkan Padang Terap sebagai bandar madu terutama dalam agro pelancongan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Rumah Madu FAMA di sini hari ini. – Bernama









