KUALA LUMPUR 3 FEB. – RATA-RATA warganet mengecam tindakan seorang pengguna Facebook yang menggunakan nama Desmond Yongkor kerana menghina Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah.
Mereka juga berharap Desmond segera dilucutkan kerakyatan kerana tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan.

Ramai juga berharap Desmond diberi pengajaran agar menjadi teladan kepada rakyat yang lain.
Seorang pengguna Facebook, Nazrie E Rimba berkata, Desmond diminta keluar dari negara ini jika tidak menyukai Yang di-Pertuan Agong yang merupakan pemerintah negara.
“Kalau rasa tidak suka Agong.. sila keluar dari Malaysia…Jangan hendak macam-macam. Sila hormat Agong dan agama Islam. Jangan ikut sedap mulut kerana mulut, badan binasa. Sudahnya duduk dalam penjara,” katanya.
Penduduk asal Pahang, Jubaidi Chamkari pula berkata, dia berasa terhina apabila Desmond menghina sultannya yang merupakan Yang di-Pertuan Agong yang baru dilantik.

“Saya sebagai rakyat negeri Pahang di bawah naungan payung Sultan Pahang terasa terhina apabila Desmond Yongkor menghina sultan kami yang merupakan Yang di-Pertuan Agong bagi Malaysia yang baru dilantik.
“Amat memilukan apabila Agong yang baru tidak sampai sehari dilantik telah dihina dengan wajah iblis dan kata-kata kesat oleh Desmond. Ini baru sehari Desmond telah menghina, kemungkinan seminggu, sebulan, setahun atau bertahun-tahun dia akan terus menghina tanpa segan silu. Sebelum berlarutan, eloklah Desmond diberi pengajaran,” ujarnya.
Dorairajan Rajan berkata, Desmond telah melakukan kesalahan besar dan sepatutnya diberi hukuman yang berat.

“Orang yang menghina Agong kita Malaysia itu sudah melakukan kesalahan besar. Sepatutnya orang itu kena diberi hukuman seumur hayat. Baru orang itu ada akal dan juga orang lain yang hendak cuba menghina Agong kita di Malaysia,” ujarnya.
Sementara itu, Viknesh Vinesh pula memberitahu, Desmond perlu ditangkap segera kerana tidak memahami apa itu sistem raja berperlembagaan.
“Tangkap dan jel sampai dua tahun, baru dia (Desmond) faham apa tu raja dan perlembagaan,” katanya.
Nur Najihah pula mahukan Desmond dilucutkan kerakyatan supaya memberi pengajaran kepada warganet yang lain.
“Lucut kerakyatan bagi pengajaran pada yang lain. Baru ada akal!” katanya.










