SHAH ALAM – Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) memberi jaminan bahawa bekalan air di tujuh buah empangan dan sebuah kolam takungannya mencukupi meskipun cuaca panas dijangka berterusan hingga hujung Mac ini.
Pengarah LUAS, Datuk Ir. Hashim Osman berkata, paras air di semua empangan berada dalam memuaskan iaitu melebihi 90 peratus (%) ketika ini.
Menurut beliau, sehingga pukul 8 pagi hari paras air di Empangan Tasik Subang mencatatkan paras bacaan 98.86 %, Empangan Semenyih (99.82 %), Empangan Langat (97.09 %), Empangan Klang Gates (92.24 %) dan Empangan Batu (95.02 %).
“Dua lagi empangan iaitu Empangan Sungai Selangor berada pada paras 97.37 %, Empangan Sungai Tinggi (97.93 %) manakala sebuah kolam takungan di Sungai Labu berada adalah 98.86 %,”katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini hari ini.
Tambah Hashim, pihaknya juga telah menyediakan beberapa pelan alternatif sekiranya cuaca panas berterusan bagi mengelakkan kejadian seperti catuan bekalan air.
“Antaranya termasuk mengaktifkan rumah pam supaya air dapat dialirkan terus daripada sungai dan kolam takungan kepada empangan.
“Selain itu, pembenihan awam akan dilakukan sekiranya paras bacaan empangan menyusut di bawah 60%,”katanya.
Jelas beliau, pihaknya yakin paras empangan hanya menyusut sehingga 80 % sahaja dan paras kritikal adalah 30 % sekiranya taburan hujan di negeri ini berkurangan sepanjang musim panas itu.
“Seandainya menyusut kepada 80% pun masih mampu menampung jumlah permintaan semasa iaitu sekitar 4,800 juta liter sehari (JLH),” katanya.
Media semalam melaporkan, fenomena cuaca panas yang melanda bahagian barat negara dan negeri Sabah dijangka berterusan hingga hujung Mac ini. – K! ONLINE










