Lori mengundur rempuh 11 kenderaan - Utusan Malaysia

Lori mengundur rempuh 11 kenderaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 28 Feb. – Sebanyak 11 buah kereta termasuk sebuah motosikal mengalami kerosakan apabila sebuah lori yang mengalami kerosakan di laluan paling kiri secara tiba-tiba mengundur dalam kejadian di Kilometer 16 Jalan KL-Ipoh menghala ke Rawang, dekat sini hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trak (JSPT) Selangor, Superintenden Azman Shari’at berkata, dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 3.10 petang itu, lori tersebut rosak di laluan mendaki dan pemandunya telah menarik brek tangan sebelum keluar dari kenderaan itu.

“Pemandu lori berusia 39 tahun itu keluar untuk mencari batu bagi diletakkan di belakang tayar lori untuk mengelak daripada terundur ke belakang.

“Namun, lori tersebut secara tiba-tiba berundur ke belakang lalu merempuh 11 buah kenderaan yang berada di kedua-dua lorong dan berhenti selepas merempuh pembahagi jalan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Menurut Azman, lori tersebut membawa muatan batu blok dan akibat insiden tersebut, seorang penunggang motosikal telah mengalami kecederaan di bahagian dahi.

Jelasnya, antara yang terlibat dalam kemalangan tersebut ialah Nissan Almera, Toyota Vios, Honda Accord, Subaru XV, Nissan Sentra, Honda City, Perodua Myvi, Toyota Camry dan Toyota Unser.

Tambahnya, kes kini disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang melihat insiden tersebut diminta berhubung dengan Inspektor Dzulhafizie di talian 013-7465469 bagi membantu siasatan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN