Lori masuk gaung, suami isteri tersepit di tempat duduk - Utusan Malaysia

Lori masuk gaung, suami isteri tersepit di tempat duduk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI 7 Feb. – Kepala sebuah lori masuk ke dalam gaung selepas merempuh dua buah kereta termasuk yang dinaiki empat beranak hingga mengakibatkan mereka meninggal dunia dalam satu kemalangan di sini tengah malam tadi.

Dalam kejadian pada pukul 12.33 tengah malam tadi di kilometer 55 Jalan Kota Tinggi-Kluang dekat sini yang berhampiran Bandar Tenggara, pemandu lori berkenaan dipercayai gagal mengawal kenderaannya sebelum masuk ke laluan bertentangan.

Lori berkenaan merempuah kereta Honda Civic dinaiki Mohd. Firdaus Januri, 34, Norlia Osman, 33, dan dua anak mereka Muhammad Adli, 7, dan Nur Dalili, 5, ssbelum merempuh sebuah kereta Proton Saga.

Keempat-empat beranak tersebut meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu lori dan kereta Proton Saga tersebut cedera ringan tetapi terselamat.

Berikutan itu orang ramai yang melihat kejadian berkenaan menghubungi Pasukan Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi untuk mendapatkan bantuan kecemasan.

Ketua Operasinya, Abdullah 
Mohamad berkata, seramai  lima anggota bersama-sama sebuah jentera dikejarkan ke tempat kejadian.

“Ketika pihak bomba tiba di tempat kejadian kedua-dua kanak-kanak telah dikeluarkan oleh orang awam. 

“Pihak bomba membantu pemandu lori naik dari bawah gaung dan mengeluarkan pemandu Honda Civic yang tersepit dan mangsa wanita yang berada di tempat duduk belakang,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Kota Tinggi manakala mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis.

Jelasnya operasi mengeluarkan mangsa tamat pada pukul 12.58 tengah malam – UTUSAN ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN