JOHOR BAHRU – Lima lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menculik seorang ahli perniagaan akhir bulan lalu.
Tertuduh, Ma Kai Chun, 40, Chiam Eng Long, 37, Tio Song Foo, 55, Lai Wai Leong, 52 dan Hew Foo Soo, 58, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan di hadapan Majistret Rashidah Baharom ketika pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin secara serentak.
Mengikut kertas pertuduhan kesemua tertuduh didakwa bersama-sama menculik seorang lelaki berusia 57 tahun dengan wang tebusan sebanyak RM1.8 juta.
Perbuatan itu didakwa dilakukan mereka di Jalan Belibis, Taman Perling di sini kira-kira pukul 7 pagi pada 27 Januari lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh digantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Asmah Zainal Ariffin manakala kesemua tertuduh diwakili peguam bela, Ahmad Yusri Ahmad Fuad.
Rashidah menetapkan 17 April ini sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia dan forensik. – K! ONLINE










