Lima hala tuju utama MOA 2019-2020 perkasa pertanian negara - Utusan Malaysia

Lima hala tuju utama MOA 2019-2020 perkasa pertanian negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERDANG – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) menetapkan lima hala tuju utama yang akan dicapai melalui 18 strategi dan 51 inisiatif dalam menjadikan pertanian penyumbang penting ekonomi negara.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, hala tuju itu dirangka berasaskan tiga dimensi sektor agromakanan iaitu sekuriti makanan negara, pembangunan ekonomi luar bandar serta penggalakan pelaburan swasta dan perdagangan antarabangsa.

“Lima hala tuju tersebut iaitu pertamanya, memoden dan meningkatkan pengeluaran pertanian bagi menjamin kestabilan bekalan dan harga makanan negara dengan memberikan penekanan dalam subsektor padi, ruminan dan perikanan.

“Keduanya, merancakkan penglibatan pelaburan swasta dalam pertanian secara komersial serta meningkatkan dagangan eksport pertanian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Hala Tuju MOA, Prioriti dan Strategi 2019-2020 di Dewan D, Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di sini hari ini.

Turut hadir Timbalannya, Sim Tze Tzin serta Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd. Sallehhuddin Hassan.

Tambah beliau lagi, halatuju ketiga, menjadikan pertanian sebagai satu sumber pendapatan yang mampan dan kukuh serta menguntungkan untuk petani, penternak, nelayan dan agroprenuer muda.

“Keempat, menambahbaik ekosistem industri pertanian untuk menyokong pemodenan pertanian, pelaburan sektor swasta dan aktiviti pengembangan untuk petani, penternak dan nelayan.

“Akhir sekali, memperkukuhkan struktur organisasi jabatan dan agensi di bawah kementerian dengan menambahbaik sistem penyampaian serta tadbir urus,” ujarnya.

Menurutnya, kelima-lima halatuju itu penting dalam memastikan industri pertanian menjadi lebih berdaya saing dan mampu menarik penyertaan pelaburan swasta serta penglibatan agroprenuer muda dalam sektor pertanian.

“Kementerian melalui Agrobank komited untuk menyediakan pembiayaan sebanyak RM290 juta bagi sektor pembiayaan mikro dalam tempoh sepanjang tahun ini.

“Satu ekosistem juga disediakan bagi memberi sokongan kepada semua pihak dalam memastikan kejayaan halatuju kementerian seterusnya memperkukuh sektor agromakanan negara,” jelasnya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN