ARAU 7 Feb. – Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie enggan lagi melayan pelbagai kritikan serta tuduhan bertubi-tubi yang dilemparkan kepadanya, sebaliknya Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) itu akan terus fokus mengemudi Singa Utara yang sedang beraksi dalam Liga Perdana musim ini.
Katanya, komitmen pihak pengurusan untuk menyelesaikan segala perkara berbangkit termasuk dalam soal gaji pemain tidak pernah berubah.
“Biarlah orang hendak kata apa, lepas korek isu ini, korek isu lain pula. Takkan pasukan negeri sampai bola pun tidak boleh beli. Sampai begitu sekali,” katanya kepada Utusan Online, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan sebuah akhbar yang mendedahkan skuad Perlis sebenarnya berada dalam keadaan kronik sejak awal lagi termasuk terpaksa meminjam bola daripada pasukan lain ketika mula menjalani latihan.
Terdahulu, turut terdapat desas-desus bahawa Safee Sali; Mohd. Badhri Radzi atau Piya akan angkat kaki menyertai pasukan lain, bagaimanapun kedua-dua mereka sudah menafikannya.
Sementara itu, Ahmad Amizal terus mengulangi komitmen akan menyelesaikan isu gaji pemain dalam tempoh terdekat.
“Pemain semua berada dalam keadaan harmoni dan bersemangat untuk menghadapi perlawanan esok dan akan memberikan komitmen terbaik,” katanya. – UTUSAN ONLINE










