BATU GAJAH – Seorang lelaki warga emas ditahan selepas dipercayai terlibat dalam satu kes pembunuhan kejam dalam satu serbuan menerusi Ops Cantas/Kesan di sebuah rumah di Taman Bemban Suria di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, suspek berusia 63 tahun yang merupakan pemastautin tetap dan bekerja sebagai kontraktor itu ditahan pada pukul 1.30 pagi.
“Suspek kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah untuk tindakan dan siasatan lanjut.
“Dia kini ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 19 Februari depan bagi membantu siasatan kes bunuh seorang buruh lelaki warga Indonesia sembilan tahun lalu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.
Menurut Mohamad Zainal, dalam kejadian pada pukul 8.25 malam 6 Mei 2010 itu, mayat Rofik Rahman, 22, ditemui dengan kesan luka pada bahagian muka dan badan tanpa dokumen pengenalan diri.
“Pemeriksaan pada mangsa ketika itu mendapati dia telah ditetak pada sebelah kiri muka sebanyak tiga kali, leher (2) dan dua kali di dada selain ditikam di perut sebanyak dua kali sehingga tali perutnya terkeluar.
“Hasil bedah siasat terhadap mayat mangsa mendapati dia disahkan meninggal dunia disebabkan tikaman dan luka pada jantung,” jelasnya.
Katanya, motif pembunuhan tersebut disyaki berpunca daripada masalah hutang yang dibuat mangsa dengan suspek.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya. – K! ONLINE










