PARIT – Seorang lelaki warga emas bakal berhadapan dengan hukuman gantung sampai mati apabila dia dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang buruh lelaki warga Indonesia sembilan tahun lalu.
Tertuduh, Saeri Sitti, 63, yang merupakan pemastautin tetap itu hanya mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Mohd. Fitri Sadarudin.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang memakai baju T celoreng bomba itu.
Mengikut pertuduhan, Saeri didakwa menyebabkan kematiab Rofik Rahman, 22, di sebuah rumah di Bota Kanan di sini antara pukul 6.30 petang hingga 6.50 petang 6 Mei 2010.
Tertuduh yang juga seorang buruh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farhana Hashim manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.
Mohd. Fitri menetapkan 21 Mac sebagai tarikh sebutan semula kes.
Kosmo! Online pada 12 Februari lalu melaporkan, seorang lelaki warga emas ditahan selepas dipercayai terlibat dalam satu kes pembunuhan kejam dalam satu serbuan menerusi Ops Cantas/Kesan di sebuah rumah di Taman Bemban Suria di sini.
Dalam kejadian pada 6 Mei 2010 itu, mayat mangsa ditemui dengan kesan luka pada bahagian muka dan badan tanpa dokumen pengenalan diri.
Pemeriksaan pada mangsa mendapati dia telah ditetak pada sebelah kiri muka sebanyak tiga kali, leher (2) dan dua kali di dada selain ditikam di perut sebanyak dua kali sehingga tali perutnya terkeluar.
Menurut Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah, motif pembunuhan tersebut disyaki berpunca daripada masalah hutang yang dibuat mangsa dengan suspek. – K! ONLINE










