MELAKA – Seorang lelaki terseret sejauh 500 meter selepas nekad memaut leher suspek bermotosikal yang meragut rantai lehernya bernilai kira-kira RM11, 000 di Taman Asean di sini pada Ahad lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu, mangsa yang berusia 49 tahun itu mengalami luka kecil di bahagian kaki dan tangan.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, ketika kejadian mangsa dikatakan sedang minum air kelapa bersama anaknya di sebuah gerai di taman berkenaan sebelum menyedari rantai lehernya direntap dari belakang.
“Ketika menoleh, mangsa yang berbangsa Cina ternampak seorang lelaki dipercayai suspek berlari menuju ke arah sebuah motosikal dan bertindak mengejarnya.
“Mangsa kemudian bertindak memaut leher lelaki berkenaan menggunakan tangan kanannya dan diseret sejauh 500 meter sehingga dia dijatuhkan oleh suspek di bahu jalan berhampiran perhentian bas di Pangsapuri Bertam Malim,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Afzanizar berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu melibatkan empat suspek yang menaiki motosikal berbeza dan suspek berjaya meloloskan diri dengan bantuan dua rakannya.
Katanya, setakat ini tiada tangkapan dan dibuat dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.
Kejadian itu turut dirakam dan tular di laman sosial Facebook sejak kelmarin. – K! ONLINE











