NILAI – Seorang lelaki Orang Asli yang dilaporkan tidak pulang ke rumahnya di Kampung Orang Asli, Kampung Kedat, Mantin dekat sini sejak kelmarin ditemui mati dalam sebuah parit di perkampungan Orang Asli tersebut petang semalam.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd. Nor Marzukee Besar berkata, mangsa, Ajis Ujang, 55, dipercayai maut selepas terjatuh ke dalam parit yang terletak di tepi sebatang jalan di perkampungan itu semasa sedang menunggang motosikal.
Menurut beliau, mayat mangsa ditemui oleh salah seorang anaknya dalam keadaan tersembam di dalam parit tersebut bersama motosikalnya kira-kira pukul 6.30 petang semalam.
“Pihak bomba telah mengeluarkan mayatnya dari parit itu. Terdapat sebuah motosikal di dalam parit dan terdapat kesan tayar dari tepi kiri jalan menuju ke dalam parit dipercayai kesan motosikal itu yang terbabas,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Mohd. Nor Marzukee berkata, pemeriksaan awal polis pada tubuh badan mangsa mendapati tiada kesan kecederaan berunsur jenayah atau khianat.
Menurut beliau, mayat lelaki Orang Asli itu di hantar ke Jabatan ForensiK Hospital Tuanku Jaa’far (HTJ) di Seremban bagi menjalani bedah siasat hari ini.
“Bedah siasat mendapati punca kematian akibat kerosakan hati yang teruk dimana terdapat nanah dalam hati dan telah pecah. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. – K! ONLINE










