KUALA PILAH 14 Feb. – Seorang lelaki yang menghidap penyakit sawan ditemukan mati di dalam longkang di hadapan rumah kakaknya di Rumah Rakyat Melang di sini hari ini.

Mayat mangsa, Sanusi Sulaiman, 51, ditemukan oleh abang iparnya, Zahar Saad, 65, dalam keadaan tertiarap kira-kira dua meter dari rumah itu kira-kira pukul 9 pagi.
Menurut kakak mangsa, Sabariah Sulaiman, 59, adik lelakinya merupakan bekas kerani di Politeknik Port Dickson serta pernah pekerja di kilang Proton Holdings Berhad (Proton).
“Dia belum berkahwin dan telah lama tinggal bersama saya selepas kematian ibu kami. Tak sangka dia meninggal dunia dalam keadaan begini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.
Sabariah memberitahu, Sanusi dikesan mengalami penyakit sawan sejak tiga tahun lalu, malah pernah ditempatkan di wad hospital untuk rawatan selama beberapa hari.
“Sejak kebelakangan ini dia kerap diserang sawan tetapi dia tidak mahu makan ubat yang diberikan pihak hospital selepas disahkan mengalami penyakit itu,” ujarnya.
Katanya, sebelum ini dia pernah melihat muka Sanusi lebam dipercayai akibat terjatuh ketika diserang sawan, namun adik lelakinya itu menafikan perkara tersebut. – UTUSAN ONLINE










