Lelaki ditemukan mati atas lori - Utusan Malaysia

Lelaki ditemukan mati atas lori

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT 8 Feb. – Seorang lelaki ditemukan mati dalam keadaan terlentang di atas sebuah lori di kawasan letak kenderaan di Taman Sejati di Sitiawan, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, pihak polis menerima maklumat daripada orang awam pada pukul 12 tengah hari mengenai penemuan mayat tersebut.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mayat tersebut disyaki warga tempatan.

“Ketika ditemukan, mangsa berbaju putih, berseluar panjang serta bersarung tangan kontrak dengan kesan darah di bawah kepala dan badan.

“Pemeriksaan juga mendapati terdapat kesan cedera pada bahagian kepala dan mangsa disyaki telah meninggal dunia lebih 24 jam,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, mayat dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Polis masih menjalankan siasatan untuk mengenal pasti identiti mangsa dan punca kejadian,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN