Lelaki China didakwa pasang alat curi data mesin ATM di KLIA - Utusan Malaysia

Lelaki China didakwa pasang alat curi data mesin ATM di KLIA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG – Seorang lelaki warganegara China didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membuat capaian kandungan untuk mencuri data pemilik kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di Lapangan Terbang Antrabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bulan lalu.

Tertuduh, Chengyong Guo,42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret A.Akhiruddin @ Boy Acho.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa telah membuat capaian kandungan iaitu dua jenis alat disyaki skimming yang digunakan untuk mencuri data pemilik kad ATM dan telah menyebabkan pengubahsuaian tanpa kuasa terhadap mesin-mesin tersebut.

Kesalahan itu dilakukan oleh Chengyong di mesin ATM, aras tiga KLIA kira-kira pukul 8.30 pagi pada 22 Januari lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 5(1) Akta Jenayah Komputer 1997 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 5(4) akta yang sama.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Aziatul Afrizal Alias manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Akhiruddin bagaimanapun tidak membenarkan sebarang jaminan diberikan terhadap tertuduh.

Mahkamah menetapkan tarikh 28 Februari depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN