PETALING JAYA – Seorang pembantu kedai warga Bangladesh mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mendatangkan kecederaan dengan menoreh muka teman wanitanya minggu lalu.
Tertuduh, Md. Saidul Islam, 21, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan dalam bahasa Inggeris dihadapan Hakim Mabel S. Muttiah.
Bagaimanapun, Hakim menetapkan 25 Mac depan sebagai tarikh jatuh hukum bagi membolehkan peguam bela menyediakan dokumen mitigasi kes itu.
Terdahulu, Peguam Datuk Suraj Singh yang mewakili tertuduh memohon satu tarikh lain bagi pihak pembelaan menyediakan mitigasi.
Mengikut pertuduhan, dia dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah pada bahagian muka Nur Zawati Zainal Abidin, 24, menggunakan pisau di Tropicana City Mall di sini pukul 6.30 petang, 7 Februari lalu.
Dia dituduh mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara 20 tahun dan denda atau sebat.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ashyraf Ashy’ari Kamaruzaman.
Dalam kejadian itu, mangsa yang juga rakan sekerjanya mengalami luka hampir lima sentimeter bermula daripada bibir hingga ke pipi kanan selepas mukanya ditoreh lelaki itu menggunakan pisau. – K! ONLINE











